Sunday, October 10, 2010

Peperiksaan Utama: Jangan Serahkan Kepada Sekolah


“Anak kita jadi bahan uji kaji lagi…,” rungut rakan sepejabat apabila saya memaklumkan bahawa PMR bakal dihapuskan pada tahun 2016. Beliau yang beranak kecil kelihatan menggerak-gerakkan jarinya seperti mengira sesuatu.

“Kita bukan anti pembaharuan, tetapi bila naik menteri baru, buat dasar baru. Menteri lain naik, dasar lain pula…,” sambungnya dengan wajah tidak gembira.

Saya tidak menyangka beliau yang kelihatan seperti non-partisan itu rupa-rupanya sangat kritikal dengan sikap pemimpin negara yang ada sekarang.

“Macam tak setuju dengan pemamsuhan PMR…?” saya cuba menduga fikirannya.

“Bukan tak setuju, ada isunya. Pilih kasih.” Saya terkejut juga dengan jawapannya.

Rupa-rupanya apa yang ada di dalam fikirannya sama dengan apa yang ada di dalam fikiran saya. Ya, isu pilih kasih. Bukan untuk bersangka buruk dengan para pendidik, tetapi pengalaman mendorong otak untuk berfikiran begitu.

Walau pun belum diumumkan secara hitam putih bentuk pelaksanaan sistem baru itu, tetapi apabila menteri menyebutkan bahawa ujian di peringkat PMR (tingkatan 3) pada tahun 2016 diserahkan kepada sekolah untuk mengendalikannya, saya fikir kebimbangan itu adalah wajar.

Bagi ibu bapa, tingkatan 3 adalah waktu-waktu kritikal untuk anak-anak mereka. Jika selepas tingkatan 3 anak mereka berjaya memasuki sekolah terpilih tentulah masa depan anak itu dalam pelajaran lebih cerah dan terjamin. Begitu juga sebaliknya.

Justeru, apabila peperiksaan tingkatan 3 dikendalikan oleh guru-guru di sekolah yang sama, adakah menteri boleh menjamin bahawa guru tidak akan pilih kasih terhadap pelajar?

Adakah tidak mungkin guru itu akan memberikan markah yang baik untuk anaknya jika anaknya belajar di sekolah itu? Atau, anak saudaranya, anak jirannya, anak rakan baiknya, anak bosnya, adiknya atau sesiapa yang dia suka?

Akhirnya, mereka yang akan mendapat tempat di sekolah bagus selepas tingkatan 3 adalah pelajar yang hampir dengan guru berkenaan. Bagaimana dengan mereka yang tidak ada kabel dengan guru-guru itu?

Apa mekanisme yang bakal digunakan oleh kementerian untuk mengelakkan sikap pilih kasih ini daripada berlaku?

Bukankah sekarang juga perkara ini sudah berlaku? Pelajar yang didahulukan untuk mendapat tempat di sekolah-sekolah bagus adalah anak-anak guru, anak kakitangan jabatan pelajaran, anak-anak orang yang ada kabel dengan pihak yang berkaitan dengan jabatan pelajaran.

Selepas itu barulah anak-anak mereka yang tidak ada hubungan dengan jabatan pelajaran mendapat tempat di sekolah-sekolah berkenaan. Maksudnya, panggilan kedua atau ketiga. Adakah ini boleh dinafikan?

Sama juga halnya dengan pemberian biasiswa. Memang berlaku pilih kasih. Ada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, aktif dengan aktiviti ko kurikulum dan latar belakang ekonomi ibu bapa juga melayakkan pelajar berkenaan mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan, namun siapa yang dapat?

Ya, anak-anak orang yang hampir dengan guru yang menguruskan biasiswa berkenaan. Adakah anda percaya kalau saya katakan bahawa ada anak orang kaya dengan kereta merayap mendapat bantuan KWAP?

Saya percaya jika kerajaan tidak mempunyai mekanisme yang tepat dan telus, pilih kasih akan berleluasa dalam keputusan peperiksaan tingkatan 3. Mereka yang tiada kaitan dengan guru atau jabatan pelajaran akan tersisih. Tunggulah…!

Jika ini yang berlaku, akan ada anak-anak yang berkelayakan tidak mendapat tempat yang sepatutnya dan anak-anak yang kurang berkelayakan pula mendapat tempat yang tidak sepatutnya. Sistem pendidikan kita pada ketika itu menjadi seperti ‘ketam menyuruh anaknya berjalan betul’.

Bagi saya, peperiksaan di peringkat sekolah mesti dikendalikan oleh pihak lain, bukan pihak sekolah. Walau pun sistem PMR yang berjalan sekarang bukan sepenuhnya baik, tetapi peperiksaan itu tidak wajar dihapuskan. Ia hanya perlu dibaiki dimana-mana yang dikenalpasti wujudnya kelemahan.

Sistem pendidikan di peringkat sekolah tidak sama dengan pendidikan tinggi. Tahap profesionalisme pensyarah universiti lebih diyakini dan sistem yang digunapakai di sana adalah lebih telus dan berwibawa.

Saya katakan bahawa pihak sekolah tidak wajar diberi mandat oleh kerajaan untuk mengendalikan peperiksaan utama. Peperiksaan utama mesti dikendalikan oleh lembaga peperiksaan seperti yang berjalan sekarang.

Jika tidak, tunggulah kehancuran.

-------------------------------------------

Kampong Kubang Paya, 1:54 am

6 comments:

ustaz CS said...

assalamualaikum...minta sahabat link kan blog ini...
lagenda-cinta.blogspot.com
terima kasih

Abu Alfateh said...

Setuju dengan Ustaz,

Ini belum diulas isu cikgu yang memberi "jawapan" bocor untuk UPSR lagi...Nak cerita pon malu.

Terlalu besar jaga guru di dunia ini, tapi ada juga segelintir cikgu/guru besar yg dah tersasar jauh!

Anonymous said...

Jangan tuduh sebarangan je. Tunjukkan bukti kukuh tentng penyelewengan guru. Memang ada berlaku tetapi ia kes terpencil. Kalau benar berlaku penyelwengan, kenapa tak semua yang cemerlang tu anak guru ? Sebenarnya didikan ibu bapa dirumahlah yang terpenting. Golongan guru mungkin bernasib baik kerana kemahiran yang ada dapat digunakan untuk mendidik anak-anak. Janganlah kelemahan diri sendiri dijadikan alasan untuk menyalahkan orang lain. Cerminlah diri sendiri dulu. Muhasabah diri selalu.

Anonymous said...

Anonymous said... Memang ada berlaku.

Betul ke? Anonymous ada bukti? Jangan tuduh sebarangan je. Tunjkkan bukti kukuh.

Sebenarnya, jangan lihat siapa yang cakap, tapi lihat apa yang dia cakap. Tak perlu la kita bincang tentang ustaz zul yang kena muhasabah diri, nanti lari topik pulak.

Saya sendiri tidak setuju dengan pendapat ustaz zul dan kawan sepejabatnya. Kepada ustaz zul, cuba dulu dan tengok hasilnya. Kepada kawannya, pindah duduk negara lain la. Malaysia memang sebuah makmal, bukan saja rakyat dan raja, pemimpin juga dijadikan bahan uji kaji.

Anonymous said...

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28989:ku-li-yang-sebenarnya-diuji-di-galas&catid=88:subky-latif&Itemid=130

Subky Latif menulis dalam harakahdaily : Ku Li yang sebenarnya diuji di Galas

M.Izzuddin said...

assalamualaikum.....
sekadar berkongsi...bab yg ini...pelajar yang didahulukan untuk mendapat tempat di sekolah-sekolah bagus adalah anak-anak guru,..............................anak-anak orang yang ada kabel dengan pihak yang berkaitan dengan jabatan pelajaran.......
saya ghase anak guru2 yg haluannya lain sket pun payah nak dpt tempat ...melainkan anak2 kita ada super power......baru ler puak2 mereka terbeliak mata nengok.....cuba ingat pencapaian budak kelantan sape namanya Madihah seorg anak nelayan..kalu tak silap...yg dpt 20A dlm peperiksaan SPM...anugerah Allah secara halus utk memikirkan...
sebaliknya anak-anak guru, anak kakitangan jabatan pelajaran, anak-anak orang yang ada kabel dengan pihak yang berkaitan dengan jabatan pelajaran........ ....selalunya (ulang 3 X) wat masalah moral je kat skola, biadap ngan guru, pekerja, org yg lalulang pun kekadang pun mereka bole kurang ajar.....#@?

jika kita sanggup berjuang di landasanNYA pasti Allah sangat pemurah dan penyayang......apa pun sebagai seorg Muslem kita sentiasa panjatkan munajat dan ingat akan janji2 Allah....buat org Mukmin...