Saturday, October 23, 2010

Petikan Kitab Jawi Mengenai Adab Menegur Pemimpin

(Kitab ini dibaca dan diijazahkan kepada semua pelajar pondok Ontah Dimano oleh Tok Guru Tahful Hari. Baca dengan hati-hati sebab tiada titik dan koma.)

bermula ini adalah satu kitab pada menyatakan akan adab menegur akan pemimpin ada pun pemimpin itu orang mulia-mulia jua maka menegur mereka itu tidaklah harus dengan sebarangan jika adalah salah sekali pun mereka itu bahkan jika adalah salah mereka itu besar sekali pun maka sayugialah ditegur mereka itu dengan seelok-eloknya

bayugia diingat bahawa menegur akan pemimpin itu hendaklah dengan caranya dan adabnya maka ada pun adabnya dan caranya itu banyak sekali setengah daripadanya ialah hendaklah dimulakan akan tegur akan pemimpin itu dengan puji-pujian jua

maka misal puji-pujian itu banyak sekali seperti katanya perkara yang dilakukan ini tidak salah juga pada pandangan hamba cuma adalah ia tidak betul sahaja atau pun dikatanya begini tidak mengapa buat salah ini jika buat salah ini adalah sekali-sekali sahaja atau tidak salah buat salah begini jika adalah buat itu untuk satu malaysia jua

maka qiaslah akan lafaz puji-pujian untuk pemimpin itu mengikut kadar upaya kita jua dan sayugia hendaklah diingat puji-pujian itu hendaklah setara ia dengan makam pemimpin itu pula jika besar dia maka tinggilah pujinya dan jika kecil dia maka patut padanlah dengan kecilnya itu

begitu juga jika pemimpin itu berada ia di tengah-tengah orang banyak maka pujiannya juga hendaklah banyak dan jika tiada ia ditengah orang banyak maka cukuplah sekadarnya sahaja dan jika dibanyakkan akan puji-pujian pun adalah baik jua

maka ada pun jika mengherdik dia akan pemimpinnya itu maka salahlah dia kerana pemimpin itu sama sekali tidak layak diherdiknya seperti mengherdik dia akan kerbau yang dipeliharanya

dan lagi puji-pujian itu seperti katanya perkara ini tidak mengapa tidak berdosa kalau dibuat kerana satu malaysia atau seumpamanya

Maka jika tidak memulai ia akan dia dengan puji-pujian maka jadilah tegur itu tidak beradab dan berdosalah dia jika tidak beradab dia dengan pemimpinnya lebih-lebih pula jika pemimpinnya itu adalah wanita pertama pula

ada pun sebab mengapa isteri pemimpin itu tidak boleh diherdik dia akannya adalah kerana dia bukanlah seperti isteri-isteri orang lainnya misalnya isteri fak fandir atau isteri si luncai

maka ada pun jika menegur kita akan isteri siluncai atau isteri fak fandir maka tidak memulai kita dengan memuji-mujinya itu tidaklah bersalah jua kerana Si Luncai dan Pak Pandir itu bukanlah layak keduanya untuk dipuja-puji akan keduanya

(Edisi berikut adalah kitab jawi yang telah dimodenkan dengan titik dan koma).

Maka jika isteri selain keduanya, seperti isteri PM misalnya, atau isteri TPM atau mana-mana isteri atau isteri-isteri mana-mana satu daripada mereka, maka menegur mereka itu hendaklah dimulai dengan puji-pujian jua, tidak boleh dengan selainnya.

Dan lagi adab menegur akan pemimpin itu, hendaklah memegang ia akan tangannya sama ada kiri atau kanannya. Dan sayugia dengan tangan kanan kerana kanan itu mulia jua. Ada pun tujuan memegang akan tangan pemimpin itu hanya sanya untuk melahirkan kemesraan jua, bukan kerana selainnya.

Setelah dipegang elok-elok akan tangannya, maka berbisiklah pula di telinganya. Seelok-eloknya telinga kanan sebab kanan itu lebih mulia juga. Ada pun jika telinga kanannya pekak maka tidak mengapa berbisik ia di telinga kirinya.

Ada pun tangannya, jika ia tidak ada tangan kanannya, seperti putus ia, atau lumpuh ia, atau apa jua kerana yang dikeranakan ia akan tangannya, maka bolehlah dipegang tangan kirinya. Jika tiada tangan kiri jua, maka bolehlah dia memegang dimana-mana sahaja kecuali tempat yang geli ia akannya jika dipegangnya.

Ada pun berbisik jua ada adabnya. Janganlah berbisik itu sampai terhambur akan air liurnya kerana sayugia diingat bahawa telinga yang dibisikkan itu adalah telinga pemimpin bukan telinga siapa-siapa. Adalah tidak elok jika terkena air liur orang berbisik itu akan telinga pemimpin.

Maka ada larangan air liur terkena telinga pemimpin itu adalah kerana mulianya pemimpin itu jua.

Maka jika dipegang tangannya dan dibisikkan ke telinganya, maka tidak mengikut pemimpin itu akan teguran itu, maka memeluknya para pujangga lama berselisih pendapat mengenainya. Pendapat taifah Satu Malaysia katanya, adalah boleh peluknya kerana untuk tujuan menasihati juga. Bahkan jika peluknya itu kuat sekali pun…

… Kalau ada orang rajin boleh sambung. Lepas ini kita hantar cetak dan kita hadiahkan kepada Ketua Ulama Muda Umno untuk jadi rujukannya. Demikianlah adanya…

8 comments:

Anonymous said...

Ye lah tu, habis tu Saidina Umar dijanjikan mata pedang jika dia tidak menjalankan amanah, adakah itu puji-pujian?

Malah beliau juga disoal dengan kain hasil rampasan perang yang mencukupi untuk dibuat sepasang pakaian, sedangkan hakikatnya kain itu tidak akan mencukupi.... adakah itu puji-pujian?

Memanglah perlulah kita hormat kalau pemimpinnya baik, tapi kalau pemimpinnya celaka perlukah kita berbuat demikian?

Kitab bidaah mana yang dia ambil?

Amri Mat Saaid said...

poning kepalo den Ustaz. dulu tahful bira ni kata PAS ni hizbi x ikut sunnah...sekarang dia join UMNO ..kalau dalam kitab tahful bira..xpe kot join UMNO

NIZAM MAT SAARI said...

Ha ha ha, Tuan, saya mahu terbitkan, saya mahu terbitkan! Kita edar satu Mesia.

halim nasir said...

Ana nak mengajar kitab ni di seluruh
Kedah. 1 copy untuk ana.

al-brangi Online said...

perli maut. dahsyat2

ulaqsemak said...

hikhikhik.... adapun tuan ulama muda umno adakah ada masanya untuk ia menadah kitab-kitab lama... sedangkan kitab kaum muda pun belum habis dihafalnya...

Anonymous said...

Kitab ini tidak salah , dia ajar kita agar bersopan . Yang salah itu ialah sesiapa yang mengaku Najib itu pemimpin .

Sebenarnya saudara pemimpin itu hanyalah satu kata nama yang diberikan kepada kepala kabilah . Itu tak kiralah kabilah mana pun . Dalam hal ini adakah Najib itu pemimpin kita ? .

Pemimpin dalam istilah islam ialah orang yang memimpin kita untuk melakukan amal - amal islami untuk mencari mardzotillah .

Allahu waliyullazi na amanu yuh rijuhum minazzuluma tu illal nur wallazi nakafaru awliyu humut toghut . Dalam ayat ini kepada toughuot pun Allah sebut pemimpin juga . Dalam hal ini sepatutnya kita orang - orang yang beriman menafikan kepimpinan nya . adakah kita mahu mengaku orang yang memandu kita kearah kesesatan kita masih menganggap dia pemimpin ? . Dalam sembahyang pun apabila imam buat salah , kita pun disuruh mufarakah .

Anonymous said...

Tu petikan ja. Kena baca abis satu kitab baru kita paham