Saturday, October 9, 2010

PAS Perlis, Inilah Orangnya...


Kami pernah bergandingan sebagai orang nombor satu dan nombor dua dalam dewan pemuda negeri selama dua penggal. Walau pun beliau dicalonkan semula untuk jawatan nombor dua untuk penggal ketiga, beliau menarik diri. Mungkin kerana saya tidak tercalon lagi untuk jawatan nombor satu ketika itu.

Beliau seorang yang cekap dan dedikasi. Tidak ada tugasan yang diamanahkan kepadanya yang tidak disempurnakannya.

Beliau sentiasa berfikiran positif, mudah diajak berbincang dan berminda kreatif. Banyak perkara yang saya dan beliau lakukan secara bersama. Hasilnya sangat memuaskan.

Kami pernah secara bersama melakukan kajian rambang mengenai kecenderungan pengundi sebelum PRU 2004. Antara tahun 1999 hingga 2004, kami sentiasa bersama mengumpul data, menyelongkar pelbagai sumber dan menyusun-atur soalan-soalan untuk ADUN PAS seramai tiga orang di Perlis pada ketika itu.

Saya katakan bahawa bekerja dengan beliau memang memuaskan hati. Itulah pengalaman saya. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada semua itu. Antaranya, perbezaan umur antara kami sangat kecil, kami dapat berkongsi fikrah dan idea, kami mampu menyerasikan sebarang perbezaan pandangan dengan baik dan kami meminimumkan ruang percanggahan.

Bagi saya beliau adalah ‘murabit’. Sebaik tamat pengajian, tanpa berlengah, segenap kebolehannya disumbangkan kepada PAS. Sepanjang pengetahuan saya, beliau tidak pernah ada profesyen lain selain sebagai ‘pekerja PAS’.

Kami juga pernah bersama dalam tempoh yang singkat merantau ke segenap pelusuk negara berceramah mengenai MLM suatu masa dulu. Namun selepas itu, dia ‘kembali’ semula ke lubuknya, PAS.

Kini kami hanya berhubung sekali-sekala sahaja. Beliau masih lagi menjadi pekerja PAS sepenuh masa sebagai S/U PAS kawasan dan juga, kalau tidak silap ingatan saya adalah Ketua Kumpulan Pemikir PAS di negeri saya.

Saya pernah bergurau dengannya, “Anta ketua kumpulan pemikir, anta sedang fikirkan apa?” Dia ketawa sahaja. Selepas itu kami bersembang perkara lain. Saya rasa beliau dapat memahami dengan baik maksud soalan saya itu, secara tersirat dan tersurat.

Tidak ada masalah untuk meletakkan beliau sebagai calon PRU akan datang. Beliau berpengalaman menjadi calon parlimen suatu masa dulu. Malah pengalamannya yang tidak sedikit sebagai pemimpin pemuda di peringkat pusat dan negeri, juga sebagai pemimpin mahasiswa semasa di menara gading. Semua itu mampu menutup sebarang kelemahan yang ada untuk menampilkan beliau sebagai pelapis kepimpinan parti dan negeri pada masa akan datang.

Beliau perlu ditonjolkan oleh PAS Perlis sebagai calon PRU akan datang mulai sekarang. Beliau mempunyai pakej kepimpinan. Beliau rajin, tekun, bersemangat dan mudah didampingi. Kalau ingin mencari pelapis kepimpinan parti pada masa hadapan beliaulah orangnya. Kalau ingin mencari pemimpin negeri, beliau juga orangnya.

Cuma, ‘kelemahannya’ banyak juga. Beliau tidak pandai membodek, mengampu, menonjol diri dan mengipas. Mulutnya tidak banyak bekerja berbanding tangan dan otaknya. Mulutnya hanya bekerja jika pekerjaan itu tidak mampu dilakukan oleh tangannya.

Kini beliau adalah orang penting kepada YDP PAS Kawasan Padang Besar. Gandingan mereka berdua adalah serasi. Mereka berdua perlu disediakan ruang yang selesa untuk berperanan lebih berkesan di Perlis.

Oh ya, saya difahamkan beliau pernah ditawarkan jawatan penting dan hampir dengan Presiden parti di Kuala Lumpur. Dengan alasan tersendiri, dia menarik diri dengan baik.

Buat sahabat saya Sdr Hisharuddin Hassan, kenangan bersama ketika kita berkereta ke Tasik Kenyir suatu masa dulu menjadi kenangan pengukuh ikatan persahabatan antara kita.

------------------------------------------------
Kampong Kubang Paya, Arau - 12.33 pg

2 comments:

Anonymous said...

ustaz din ni ada chan nak jd MB ka?

Paksu Ki said...

Sudah tiba masanya hisharudin sebagai pemimpin pelapis mengantikan kepimpinan PAS Perlis yang sudah uzur. Teringat lagi arwah Pak Mud yang sentiasa menjadi rujukan kepada PAS Perlis dalam sesuatu isu yang timbul