Azan menjadi isu selepas isu non Muslim masuk masjid, senaman depan masjid dan baca al-Quran. Ada demo dibuat oleh sekumpulan orang untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Harap-harap isu ini tidak terus diapi-apikan oleh mereka yang ada kepentingan. Kesannya sangat tidak baik.
Soalan saya ialah, apa sebenarnya yang tidak disukai? Azan atau orang yang melaungkan azan? Mengapa saya bertanya begitu?
Azan dilaungkan di seluruh dunia termasuk di kota-kota besar yang dimonopoli oleh orang bukan Islam. Tidak ada sedetik pun azan tidak berkumandang di dunia ini. Mengapa azan di sebuah masjid di Malaysia bangkit sebagai isu?
Peliknya lagi, isu berkaitan azan ini dibangkitkan di sebuah negara yang pernah diisytiharkan sebagai negara Islam. Tetapi, mengapa Cina Kota Bharu tidak pula membantah azan yang dilaungkan di Masjid Muhammadi atau di Masjid al-Bara’ah? Adakah azan mereka berlainan dengan azan di tempat lain?
Allah lebih mengetahui hakikat sebenar, tetapi perlu diingat, perkara yang sama jika dilakukan oleh orang yang berlainan mendatangkan kesan yang berlainan. Saya bukan menujukan perkara ini kepada individu tertentu di tempat tertentu tetapi saya menyebutnya kepada semua orang di semua tempat.
Pertama – Azan di negara kita bukan semata-mata azan, tetapi didahului dengan ungkapan-ungkapan yang bukan azan. Jika azan sebenar tentunya mengambil masa yang tidak terlalu panjang.
Kedua – Azan di negara kita lagunya terlalu mendayu-dayu dan lenggoknya panjang-panjang. Cuba dengar betul-betul azan di negara lain termasuk Mekah dan Madinah, adakah lagu dan lenggoknya sepanjang lagu dan lenggok azan di negara kita?
Azan perlu kembali kepada fungsinya yang sebenar iaitu memberitahu orang Islam mengenai waktu solat juga sebagai medium dakwah kepada orang bukan. Orang bukan Islam diberi peluang menilai perbezaan ajakan beribadat yang terdapat dalam agama mereka dengan ajakan beribadat dalam agama Islam.
Mana satu lebih murni, lebih tulus, lebih menyamankan, lebih mententeramkan, lebih bermakna, lebih halus, lebih menyentuh jiwa dan lebih berkesan. Suara azan atau suara-suara loceng mereka yang tidak bermakna, merimaskan dan tidak mententeramkan itu?
Kadang-kadang azan dilaungkan bukan dengan nada dan gaya memanggil atau menyeru, mengajak atau memujuk tetapi dengan gaya mengejutkan atau menggertak. Suara azan seolah-olah sedang marahkan orang tidur kerana tidak bangun atau menggertak orang di jalan supaya berhenti solat.
Kalimah azan adalah kalimah agung. Mustahil kalimah itu akan dibenci dan dimarah. Kalimah itu datang daripada Allah yang Maha Penyayang. Kalimah itu adalah kalimah rahmat dan kasih sayang.
Namun kalimah yang baik jika diungkapkan dengan cara yang salah, gaya yang salah, tidak mustahil ia akan disalah ertikan. Al –Quran juga jika dibaca pada masa yang salah, dengan cara yang salah, juga akan disalah ertikan.
Saya tidak mengatakan orang yang membantah laungan azan itu betul. Saya juga tidak mengatakan juru azan masjid berkenaan salah. Itu bukan maksud saya. Apa yang saya maksudkan ialah, juru azan perlu menghayati azan yang dilaungkannya, faham fungsi dirinya sebagai pendakwah, laungan yang keluar daripada hatinya, tentu azan itu sangat berkesan kerana ia akan masuk ke dalam hati.
Atas dasar itu orang yang melaungkan azan diberi ganjaran pahala yang besar. Itu bukan tugas mudah, mudah tugas tangkap muat, bukan tugas pakai jadi. Tapi tugas yang berpijak di atas ilmu, kebijaksanaan, kasih-sayang, rahmat, ….
Mengapa Rasulullah saw memilih Bilal bin Rabah menjadi juru azan baginda? Mengapa tidak Umar atau orang lain? Pilihan tangkap muat? Pilihan pakai jadi?
Mengapa bekas hamba dijadikan juru azan? Bukankah jiwa seorang bekas hamba itu lebih halus dan sensitif? Gambarkan bagaimana laungan ajakan bersolat yang dilakukan oleh orang yang jiwanya halus, sensitif, suci dan pasrah? Ya Allah….
Saya sukar untuk menggambarkan bagaimana kesudahanepisod azan ini. Tetapi, kepada mereka yang sayangkan agamanya, mungkin demontrasi salah satu caranya, tetapi itu bukan satu-satunya cara.
Jangan disebabkan kejahilan kita, agama kita menjadi mangsanya.
No comments:
Post a Comment