Ketika Rasulullah saw sedang gering, baginda mengarahkan Abu Bakar mengimamkan orang ramai. Ketika baginda lega sedikit daripada sakit, baginda hadir ke masjid ketika Abu Bakar sedang menjadi imam. Menyedari kehadiran baginda, Abu Bakar mengundur.
Rasulullah saw mengisyaratkan supaya Abu Bakar terus berada di tempatnya. Rasulullah duduk di sebelah Abu Bakar. Beliau menjadi makmum kepada Rasulullah saw dan orang ramai bersolat berpandukan Abu Bakar.
Selesai solat, Rasulullah saw bertanyakan Abu Bakar mengapa beliau mengundur walau pun beliau diarahkan supaya kekal di tempatnya. Jelas Abu Bakar, tidak patut baginya untuk mendahului Rasulullah saw.
Dalam peristiwa Hudaibiyah, Rasulullah saw mengarahkan Uthman supaya bertawaf apabila sampai ke Baitullah. Uthman tidak melakukannya. Beliau berpendapat, tidak patut baginya bertawaf mendahului Rasulullah saw.
Abu Bakar dan Uthman berpegang, mereka tidak patut mendahului Rasulullah saw dalam apa jua urusan. Mereka tidak menunaikan perintah itu bukan kerana engkar tetapi kerana beradab dengan baginda.
Kedua-dua peristiwa di atas dijadikan sandaran oleh para ulama supaya mendahulukan adab terhadap perintah. Ringkasnya, apabila bersaing antara perintah dan adab, maka hendaklah didahulukan adab.
No comments:
Post a Comment