Muhyiddin Yasin, TPM Malaysia berkata, “Dalam tempoh dua tahun pakatan pembangkang tidak membuat apa-apa manakala Perdana Menteri belum sampai setahun tetapi sudah banyak perubahan yang dibuat” (baca Utusan Online).
Abdul Jamil Saad, Exco Kerajaan Negeri Perlis berkata, “Adalah tidak adil untuk membuat penilaian terhadap kepimpinan Md Isa hanya selepas dua tahun beliau meneraju negeri itu.” (baca Malaysian Insider).
Muhyiddin sudah menilai kerajaan Pakatan sebab itu dia berani berkata bahawa kerajaan Pakatan tidak membuat apa-apa. Penilaian ini mempunyai dua niat, membodek Najib dan memburukkan Pakatan.
Itu memang kerja Muhyiddin. Biasalah, kalau orang nombor dua tidak membodek orang nombor satu, itu bukan namanya orang nombor dua. Begitu juga, kalau pemimpin Umno tidak mengutuk Pakatan, itu bukan pemimpin Umno namanya.
Apa yang menariknya ialah kenyataan salah seorang exco Perlis yang tidak membenarkan kerajaan Perlis pimpinan Md Isa Sabu dinilai. Katanya, itu tidak adil kerana baru dua tahun Md Isa jadi MB.
Kenyataan ini juga berunsur bodek. Muhyiddin membodek Najib, Jamil membodek Md Isa. Mereka bercanggah pendapat tetapi satu matlamat.
Dan, paling menarik ialah, kerajaan Md Isa bukan akan dinilai oleh orang PAS. Kalau dinilai oleh orang PAS, memang penilaian itu bias tetapi akan dinilai oleh orang Umno daripada pasukan Shahidan Kassim.
Pada masa yang sama, orang Umno juga daripada pasukan MB sekarang tidak bersetuju kerajaan BN Perlis sekarang dinilai.
Muhyiddin menilai kerajaan Pakatan. Exco kerajaan BN tidak bersetuju kerajaan negeri BN dinilai. Macam mana?
Nak pakai yang mana satu? Kalau ikut Najib yang menilai kerajaan Pakatan, maka kerajaan BN Perlis juga perlu dinilai walau pun baru dua tahun.
Kalau ikut exco Perlis pula, Najib tidak berhak menilai kerajaan Pakatan kerana kerajaan Pakatan juga baru berusia dua tahun macam kerajaan BN Perlis pimpinan Md Isa Sabu.
Jamil sepatutnya mengikut Muhyiddin. Sebagaimana Muhyiddin menilai kerajaan Pakatan maka kerajaan Md Isa Sabu juga patut dinilai.
Mengapa Jamil takut kerajaan Md Isa dinilai? Adakah kerana ia akan dinilai oleh Umno? Biarlah Shahidan Kassim menilai Md Isa, apa salahnya. Shahidan pun tahu prestasi Md Isa kerana Md Isa pernah menjadi exco semasa dia MB suatu masa dahulu.
Terpulang kepada Muhyiddin untuk menilai kerajaan Pakatan kerana rakyat juga menilai. Penilaian Muhyiddin tidak mempengaruhi penilaian rakyat. Saya yakin kerajaan Pakatan tidak takut kepada penilaian.
Menghairankan apabila kerajaan BN Perlis takut kepada penilaian. Takut apa? Takut orang tahu kerajaan BN Perlis juga tak buat apa-apa.
Apa yang perlu ditakutkan kepada penilaian Shahidan? Itu tidak akan kemana. Kalau Shahidan berjaya menjatuhkan Md Isa, dinaikkan orang lain, tetap Umno juga. Umno tidak hilang kerajaan. Cuma bertukar pasukan sahaja.
Kalau kerajaan Pakatan tidak takut kepada penilaian TPM, mengapa Md Isa takut kepada penilaian Shahidan? Ada apa-apa ke?
No comments:
Post a Comment