Monday, March 8, 2010

Kenangan Tidak Seberapa Dengan Ust Azizan Razak

Sempena dua tahun kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah, terasa untuk menukilkan kenangan tidak seberapa dengan Ustaz Azizan.

Semasa bertugas dengan sebuah agensi agama di Perlis suatu ketika dulu, saya pernah ditugaskan untuk menguruskan penganjuran forum untuk satu program kerajaan negeri. Saya tidak ingat program apa dan tahun bila. Rasanya tahun 1995.

Pada waktu itu MB Perlis adalah Shahidan Kassim. Dan, isu yang panas pada ketika itu adalah isu pindaan akta pendidikan. PAS menentang pindaan itu.

Saya mencadangkan supaya forum itu membincangkan isu berkenaan. Ahli panelnya hendaklah daripada PAS, Umno dan ahli akademik.

Ketika itu saya sudah pun menjadi aktivis pemuda PAS Perlis. Ketuanya bekas Pengurus LPP Perlis. Dia kini adalah usahawan berjaya. Kini saya bekerja di syarikatnya.

Cadangan ini direstui. Ahli panel forum pada malam itu ialah Ust Azizan Razak, Shahnon Ahmad (Prof Emiritus) dan Saifuddin Nasution. Ketika ini Saifudin masih bersama Umno. Kalau tidak salah ingatan saya, Saifudin hanya menggantikan abangnya yang ketika menjadi SU politik (?) kepada salah seorang menteri.

Saya sendiri yang menghubungi Ust Azizan melalui telefon. Rasanya pada waktu itu dia tidak se’cenge’ seperti ‘cenge’nya selepas itu. Dia mesra.

Forum berjalan lancar. Dipengerusikan oleh salah seorang pensyarah UiTM, Arau. Diadakan di dataran Masjid Alwi, Kangar, selepas Isyak.

Medan tempat forum diadakan dipenuhi manusia. Maklum, jarang benar forum yang menemukan tiga ahli panel yang berlainan latar belakang politik diadakan di Perlis pada waktu itu. Shahidan Kassim turut hadir dan dia berada bersama orang ramai.

Ust Azizan pada waktu itu adalah wakil rakyat Sala, Kedah untuk penggal yang pertama. Dia mengupas isu pindaan akta itu dengan baik. Hujahnya adalah selari dengan hujah Shahnon Ahmad. Saifuddin pula walau pun di dalam Umno turut mengulas mengenai penerapan nilai-nilai Islam dalam pendidikan.

Kalau dikira berlawan, dua lawan satu. Shahnon dan Azizan pada satu pihak dan Saifuddin, pihak satu lagi. Mungkin pengerusi sahaja dilihat memihak kepada Saifuddin.

Saya masih ingat, Saifuddin mengungkapkan doa makan yang katanya sudah dihafal oleh pelajar pra sekolah. Dan, umum tahu bahawa pra sekolah yang mengajarkan doa sebegitu pada waktu itu adalah PASTI milik pemuda PAS.

Ust Azizan seperti biasa. Hujahnya padat dan diselangi seloroh sinis. Antara selorohnya mengenai dirinya, “Saya ni wakil rakyat baru. Macam anak lembu baru tumbuh tanduk. Gatai, dia serondoi merata…” Orang ramai menyambutnya dengan ketawa riuh.

Khabarnya, Shahidan marah-marah dengan hujah Ust Azizan yang mempersoalkan kerajaan meminda akta pendidikan.

Saya tidak pasti sepanas mana marah Shahidan, tetapi apa yang pasti selepas itu tidak wujud lagi peluang untuk menemukan individu yang mewakili pelbagai parti politik untuk berada sepentas di Perlis dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Ada lagi kenangan lain bersama Ust Azizan, tapi inilah pengalaman pertama saya dengannya. Sahabat saya, Tn Hj Hisharudin Hasan dan Lawyer Zulmi Sabri tentu masih ingat kenangan ini.

1 comment:

Anonymous said...

salam ust..

mohon linkkan blog sy disini tq..

http:kedah-online.blogspot.com