Alasan PKR memecat keanggotaan salah seorang ahli parlimennya ialah kerana ‘cross that red line’. Bagi saya, ‘red line’ yang dimaksudkan itu adalah ‘persahabatan’. Maksudnya, tindakan MP berkenaan menjejaskan persahabatan parti-parti dalam PR. Itu adalah kenyataan SU Agong PKR.
Laporan polis yang dibuat oleh dibuat oleh MP yang dipecat itu ke atas Khalid Samad hanyalah ‘aksi’ sahaja. Saya rasa bukan ‘aksi’ itu yang menjadi tumpuan tetapi ‘sikap’ yang melahirkan aksi berkenaan.
Contohnya begini. Seorang pemandu memotong di garisan berkembar dikenakan saman. Tindakannya memotong itu hanyalah ‘aksi’ sahaja. Fokusnya ialah sikap degil dan keras kepala pemandu untuk tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Justeru, sebarang yang menunjukkan kedegilan selain memotong di garisan berkembar; melanggar lampu merah, memarkir di kawasan garisan kuning, memandu melebihi had laju atau apa sahaja harus dikenakan tindakan kerana menjadi simbol kedegilan.
Melakukan kesalahan bukan kesalahan yang sebenar tetapi enggan mengakui kesalahan yang telah dilakukan adalah kesalahan yang sebenar. Sebab itu biasanya, hukuman kesalahan kedua adalah lebih berat daripada hukuman kesalahan kali pertama.
Tentu tidak seberat ini hukuman yang dikenakan ke atas MP berkenaan jika dia bersedia mengakui kesalahannya.
Bagi saya hukuman ke atas MP berkenaan patut menjadi ‘duluan kehakiman – stare decisis et non mevere’. (Nota: Kalau minat nak tahu lebih lanjut mengenai ‘duluan kehakiman’, taip saja perkataan itu dalam Wikipedia).
Maksudnya, sebarang tindakan yang menjejaskan kerjasama Pakatan yang dilakukan oleh anggota parti mana pun dalam pakatan rakyat, hukuman ke atas MP berkenaan adalah mengikat. Pelakunya perlu dihukum dengan hukuman itu.
Mengapa begitu berat? Kerana itulah nilai sebuah persahabatan. Kalau seorang sahabat tidak tahu menjaga persahabatan, itu bukan sahabat. Dia cuma kenalan sahaja.
Sama juga dengan nilai sebuah permusuhan. Kalau melakukan sesuatu yang menguntungkan musuh, itu bukan nilai sebuah permusuhan. Itu juga cuma kenalan. Kenalan belum boleh menjadi musuh atau kawan.
PKR telah meletakkan ‘penanda aras’ yang sangat tinggi dalam menghargai sebuah persahabatan. Penanda aras ini bukan mudah untuk dikesampingkan. Selepas ini kalau ada mana-mana parti dalam Pakatan yang tidak mencapai penanda aras itu dalam persahabatan, itulah pengkhianat.
Ya, pengkhianatan kepada sebuah persahabatan.
1 comment:
Saya amat menghargai kata-kata ustaz. Tetapi malangnya saya rasa bahasa yang ustaz guna terlalu tinggi buat siBEBAL untuk memahaminya. Mereka masih lagi ditahap primitif serta konservatif untuk menerima kenyataan sebenarnya.
Apa-apa pun kami sebagai rakyat biasa yang memantau keadaan politik di negara ini amat menghargai usaha ustaz untuk memberikan kefahaman kepada mereka yang masih dikongkong mindanya ibarat Katak Dalam Gelas yang hanya boleh melihat masalah tetapi tidak boleh keluar dari kaca gelas tersebut akibat minda yang masih terkongkong.
Wassalam...
Post a Comment