Diberitakan, Umar Ibn al-Khattab tidak menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri ketika negara dilanda kelaparan. Pada ketika itu, kelaparan dikategorikan sebagai unsur keraguan yang melayakkan hukum hudud diketepikan.
Jumaat lalu, di Genting Sempah, tujuh nyawa terkorban kerana kemalangan yang melibatkan sebuah bas. Pemandunya patah kaki. Menurut media, dia memohon maaf kepada semua keluarga mangsa.
Baginya, kemalangan itu berlaku kerana kerosakan bas. Katanya juga, dia ada lesen memandu tetapi dikategorikan lesen terbang dan tidak dibenarkan memperbaharuinya.
Saya cuma terfikir begini, “Betulkah pemandu bas itu bersalah sepenuhnya dalam kejadian itu? Adakah wajar semua beban bencana itu dihempap ke atas kepalanya seorang?”
Jika saya berada di tempat keluarga mangsa, tentu saya mahu sesiapa sahaja yang menjadi penyebab kemalangan itu dihukum sewajarnya. Jika pemandu bas itu puncanya, dia wajar menerima balasan kerana kecuaiannya.
Katanya lagi, dia memandu bas kerana terpaksa, kerana menanggung tiga anak yang sedang bersekolah, isterinya tidak bekerja dan dia juga perlu membayar sewa rumah.
Adakah mustahil sesiapa jua pun yang berada dalam situasinya akan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukannya?
Dia tidak mencuri, merompak atau memecah masuk pajak gadai. Dia memandu bas. Dia punya lesen memandu tetapi dinafikan kesahannya. Bas yang dipandunya pula dalam keadaan yang kurang baik, wujud kerosakan yang menunggu masa untuk membaham mangsa.
Umar Ibn al-Khattab pernah melahirkan kebimbangan sekiranya ada anak kambing yang mati di tebing sungai Furat kerana kecuaiannya tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya.
Pemandu itu mungkin menerima hukuman kerana kecuaiannya menyebabkan tujuh nyawa terkorban. Namun pernahkah mereka yang berada di kerusi empuk berfikir, wajarkah hukuman itu dikenakan ke atasnya?
Cuba renungkan kenyataan ini:
- Dia tidak punya pekerjaan, dia melakukan pekerjaan itu kerana terpaksa, salah siapa?
- Lesen memandunya dinafikan kesahannya, salah siapa?
- Jika dia tidak bekerja, anak-anaknya tidak dapat bersekolah, salah siapa?
- Jika ditakdirkan dia memecah masuk pajak gadai, bukan memandu bas tanpa lesen, salah siapa?
- Jika dia tiada tempat tinggal kerana tidak mampu membayar sewa rumah, salah siapa?
Soalan terakhir, adakah semua menteri yang ada sedia mengaku bahawa mereka juga bersalah dalam kejadian menyayat hati ini?
1 comment:
Salah siapa?
Salah pemilik syarikat bas.
1. Tidak memeriksa keadaan bas bebelum bas berlepas (masalah brek)
2. Tidak mempastikan hanya pemandu yang kompeten membawa bas (lesen memandu) dan sebagainya.
3. Waktu kerja dan waktu berada di dalam bas (tidak dijelaskan sama ada bas itu mempunyai pemandu kedua atau tidak. perjalanan melebihi 4 jam untuk satu arah)
Malangnya sikap kebanyakan orang di Malaysia ialah meletakkan kesalahan kepada pemandu (pekerja) semata-mata dan bukan pemilik bas (majikan).
Post a Comment