Wednesday, March 17, 2010

Selamat Menulis Dr Asri

Rasanya lima tahun lebih saya tidak pernah membeli Mingguan Malaysia, namun itu tidak bermakna saya tidak membacanya. Biasanya akhbar itu saya tatap di kedai makan atau dimana-mana yang saya terjumpa.

Itu bermakna sepanjang tempoh itu juga, tidak semua tulisan Dr Asri dalam akhbar berkenaan dapat saya tatap. Namun saya kerap juga membaca buah fikirannya di dalam laman webnya.

Apabila Malaysiakini bakal mewujudkan kolum khusus untuk Dr Asri, saya menyambut baik usaha itu. Dan, saya bertekad untuk terus menelusuri buah fikirannya. Soal sama ada saya bersetuju atau tidak dengan buah fikirannya, itu bukan isunya.

Isunya ialah buah fikiran orang seperti Dr Asri wajar ditelusuri. Tentu ada banyak perkara bermanfaat dapat dikutip dan sekurang-kurangnya dijadikan bahan berfikir.

Saya percaya ramai orang tidak suka dengan pendirian ini. Bagi sebahagian orang tulisan Dr Asri tidak perlu dibaca, majlisnya tidak perlu dihadiri. Beliau dilabel dengan pelbagai label dan yang paling popular ialah dia Wahabi dan pengembang aktif fahaman (gerakan?) itu.

Saya tidak kisah dengan tanggapan itu. Bagi saya tulisan Dr Asri patut ditelusuri dengan jujur. Tulisannya berani, tegas dan telus.

Benar, kadang-kadang tulisannya juga bias terutamanya terhadap PAS. Kritikannya kepada PAS juga pedas dan kadang-kadang sarat dengan dakwaan tidak berasas. Apa yang berlaku di dalam PAS tiga puluh tahun lalu diungkitnya lagi sedangkan itu semua tidak berlaku lagi di dalam PAS kini.

Mungkin tanggapan begitu terhadap PAS dibuatnya kerana dia melihat kepada ahli-ahli atau penyokong-penyokong PAS. Kemudian itu semua disimpulkan sebagai ‘PAS’ secara keseluruhan.

Beliau juga pernah mengkritik Umno tetapi kritikannya kepada Umno tidak sekeras dan sepedas kritikannya kepada PAS. Itu dapat difahami. Mungkin kerana ada sesuatu yang beliau ‘terhutang’ dengan Umno atau pemimpin Umno.

Tak apa, saya tidak kisah sangat dengan itu semua. Kecuali para nabi dan rasul, mana ada manusia seratus peratus lengkap dan sempurna.

Dan, mungkin kerana tulisan sebegitu juga beliau menjadi popular. Kalau Kassim Ahmad suatu ketika popular dengan kritikannya tehadap hadis dan Farish Nor pula kerana kritikannya terhadap isteri nabi, Dr Asri juga ada sudut-sudut tertentu yang menjadikannya popular.

Ini tidak bermaksud saya menyamakan Dr Asri dengan mereka berdua apatah lagi dengan Astora Jabat yang juga suatu ketika popular dengan pendekatan sebegitu.

Maksud saya mereka popular dengan cara masing-masing. Dan, cara itu jarang digunakan oleh penulis lain kecuali mereka bertiga.

Apa yang paling saya minat dengan tulisan Dr Asri ialah keupayaanya menampilkan dalam tulisan yang pendek dan mudah rujukan daripada sumber-sumber rujukan utama Islam. Maksud saya rujukan daripada kitab ‘turath’ Islam.

Ketika sebahagian penulis berbangga dengan rujukan daripada sumber-sumber dari Barat, Dr Asri nampaknya masih tegar dengan kebanggannya terhadap sumber-sumber itu.

Ini sangat bermanfaat kepada generasi muda terutamanya supaya mereka sedar bahawa apa juga perbahasan semasa telah wujud kaedah dan sumbernya daripada sumber-sumber primer Islam.

Selamat menulis untuk Dr Asri.

3 comments:

Anonymous said...

Maaf. Ustaz tak pa la ada ilmu nak pertimbangkan yang mana benar yang mana sesat, bagi orang awam ?

Anti-Bakistani said...

sila layari;

anti-bakistani.blogspot.com

Anonymous said...

al - massih ad-dajjal