Sunday, July 4, 2010

Tempatkan Ulama Muda Di Felda

Semenjak 2001 hingga kini, Felda dipengerusikan oleh seorang yang ‘bukan ulama muda’. Pengerusi Felda sebelum orang ‘bukan ulama muda’ ini semuanya bukan ulama.

Secara peribadi saya bukan orang yang menetap di Felda, tetapi abang dan kakak saya adalah warga Felda. Semenjak awal mereka berkahwin sehingga kini, sudah pun bercucu mereka menetap di Felda.

Bohong kalau saya katakan hidup mereka tidak berubah. Kini mereka ada tanah kebun kelapa sawit dan ada rumah. Walau pun mereka sering tidak cukup belanja harian, tetapi mereka ada tanah untuk diusahakan dan rumah sendiri untuk berteduh.

Kalau boleh dikatakan itu jasa Felda, itulah jasanya.

Namun saya berani katakan, sebenarnya apa yang warga Felda dapat kini, selepas 30 hingga 40 tahun mereka menetap di situ hanyalah ‘kuah’. Isi dan intinya diperolehi oleh orang lain, orang yang tidak ada kena mengena pun dengan kerja-kerja memajukan tanah di Felda.

Sama seperti agensi lain yang ditubuhkan oleh kerajaan, rakyat biasanya dijadikan justifikasi untuk membenarkan tindakan mengayakan kroni. Felda misalnya, yang kaya bukan peneroka tetapi kroni pemimpin Umno yang mendapat projek pembangunan di Felda.

Bermula dengan projek kecil seperti projek membaja ladang sampai kepada projek besar seperti pembinaan MRSM di Trolak bernilai RM120 juta, isinya dinikmati kroni pemimpin Umno.

Mana pulangannya kepada warga Felda yang semakin berusia itu? Mana hasilnya kepada generasi kedua warga Felda yang sebahagiannya sudah pun bercucu?

Warga Felda sebenarnya tidak berpeluang sangat untuk menikmati kekayaan Felda. Apa yang mereka nikmati sebenarnya adalah sebahagian kecil sahaja hasil titik peluh mereka selama berpuluh tahun bersama Felda.

Titik peluh mereka yang sebenar dinikmati oleh orang lain, orang yang bertali leher dan berbilik berhawa dingin di merata tempat. Warga Felda tetap begitu juga.

Semenjak 2001 hingga kini Felda diterajui oleh ‘bukan ulama muda’. Dikatakan bahawa kroni ‘bukan ulama muda’ ini sudah kaya-raya dengan projek-projek Feldajaya yang kosnya sebanyak RM152 juta.

Saya fikir inilah antara tugas ulama muda yang masuk Umno baru-baru ini. Kalau mereka ingin membersihkan Umno dari dalam, inilah kekotoran yang perlu dibersihkan itu.

Kalau ‘bukan ulama muda’ sudah ternyata gagal membela warga Felda, ulama muda perlu tampil membela peneroka.

Kalau ulama muda setakat masuk Umno untuk bercakap soal usalli dan tahlil, qunut dan talqin… entahlah.

1 comment:

NIZAM MAT SAARI said...

syabas,

saya menyokong tulisan anda. Walaupun saya bukan warga felda tetapi sanak saudara ramai di felda. Ya, depa hanya dapat kuah saja.