Saturday, November 20, 2010

DUN Pauh Perlis: Bermimpilah Untuk Menang!

Dalam DUN Pauh, Parlimen Arau Perlis, ada sebuah kampong yang didiami seratus peratus orang Melayu. Daripada berpuluh-puluh buah keluarga di kampong itu, dimaklumkan hanya tiga sahaja keluarga PAS.

Papan tanda cawangan PAS terpampang di hadapan salah sebuah rumah ahli PAS di kampong itu.

“Papan tanda itu diletak untuk bagi Umno terkejut sahaja. Sebenarnya ahli PAS kampong ini tak sampai sepuluh orang pun.” Beritahu tuan rumah yang papan tanda cawangan PAS dipacak di hadapan rumahnya.

Orang PAS di kampong itu khabarnya dipulau oleh orang Umno. Buktinya, hari ini, ketika hadir ke majlis kenduri di rumah salah seorang sahabat di kampong itu, petugas untuk menguruskan kenduri perlu diimpot dari kampong lain.

Orang Umno kampong itu datang makan, kemudian balik.

Mereka bercerita lagi, semasa persiapan kenduri, wanita Umno kampong itu ada juga yang turut membantu tuan rumah menyediakan juadah. Wanita Umno duduk sebelah, muslimat PAS duduk sebelah. Tidak bercakap dan tidak bertegur sapa.

“Satu Malaysia apa macam tu,” rungut salah seorang muslimat sekampong saya yang turut hadir menyumbang tenaga menjayakan kenduri rumah ahli PAS itu.

Berdasarkan angka PRU 12, jumlah pengundi di DUN Pauh ialah 8,107 orang. Daripada jumlah itu, 74 peratus (5,999) adalah pemilih Melayu dan 18 peratus (1,446) adalah pemilih Cina. BN menang dengan majoriti 2,572 undi.

Untuk memenangi DUN tersebut, sekurang-kurangnya 1,286 orang pemilih perlu ‘swing’ kepada PAS. Jika PAS meletakkan harapan kepada pengundi Cina, maka hampir semua pengundi Cina perlu ‘swing’.

Jika separuh pengundi Cina ‘swing’, maka sekurang-kurangnya 500 pengundi Melayu perlu ‘swing’. Tetapi, jika ada kampong yang orang Umno boleh pulau orang PAS, harapan untuk melihat orang Melayu ‘swing’ adalah kelam.

Mustahil juga, semua orang Cina akan ‘swing’ untuk mengundi PAS kerana dalam majlis hari raya puasa anjuran PAS di DUN Pauh, orang Cina yang hadir dalam majlis itu mungkin lebih sedikit daripada 10 orang. Justeru, bolehkah diletakkan harapan kepada mereka?

Kemenangan bukan sesuatu yang mustahil bagi PAS. Namun, bagaimana pula, dalam situasi congak matematik yang tidak menyebelahi PAS, jentera PAS sendiri, khususnya di DUN Pauh masih tenggelam timbul. Nasib baik tidak hanyut dibawa arus banjir baru-baru ini.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk melemahkan atau memperlekehkan PAS Perlis, tetapi sekadar untuk menyalurkan pandangan. Hanya inilah saluran yang dimiliki untuk tujuan itu.

Mengharapkan kemenangan tidak salah, tetapi harapan tanpa bersandar kepada undang-undang semula jadi alam, sama seperti persepakatan tikus untuk menggantung loceng di leher kucing.

Harapan itu memang bagus, tetapi mana tikus yang sanggup melakukan tugasan itu?

Atau, seperti lawak seorang rakan, kalau Umno boleh menang, takkan PAS tak boleh menang? Sama seperti Pak Pandir yang melihat ribuan ekor semut meniti sebuah jambatan kayu reput, Pak Pandir berkata, “Kalau beribu ekor semut boleh menyeberang, takkan aku seorang sahaja tak boleh menyeberang?”

--------------------------------------------------------------------
Warga Kampong Kubang Paya - DUN Pauh / Parlimen Arau, Perlis.

1 comment:

Anonymous said...

pas pauh nak menang?lucu kita mendengarinya....tapi kebarangkalian nak kalah sdh nampak tersirna..bkn pauh malah snglang dll akan tergadai....apa buktinya??tepuk dada,tanyalah Hasyim Jasin.....dia hanya membela murid2nya yg sdg berlakun menjadi pahlawan di desa sndri...tapi hakikatnya semua itu pak pandir dan mat jenin belaka...