Wednesday, November 3, 2010

Perkara Yang Orang Jahil Tak Faham

Kecuali para nabi dan rasul, semua orang termasuk ulama adalah berdosa. Cuma, keistimewaan para ulama ialah lebih cepat sedar dosa yang dilakukan dan tahu pula bagaimana untuk menebus dosa itu.

Para ulama di sini merujuk kepada mereka yang arif dengan sebenarnya kitab Allah dan sunnah nabinya.

Masalah orang jahil ialah tidak mengenal dosa, tidak sedar dosa yang dilakukan, merasa tidak apa dengan dosa dan tidak tahu bagaimana untuk bebas daripada dosa.

Sebab itu ulama yang tidur lebih ditakuti oleh syaitan daripada orang jahil yang beribadat. Tidur ulama cuma matanya, hatinya tetap jaga dan siaga. Ibadat orang jahil hanya zahirnya, bahkan kadang-kadang dia sendiri tidak dapat memastikan adakah ibadah yang dibuatnya itu benar atau salah.

Sebab itu, tidak sama antara seorang suami yang alim dengan suami yang jahil. Ketua yang alim dengan ketua yang jahil. Pemimpin yang alim dengan pemimpin yang jahil. Adakah sama seorang pemimpin rakyat yang memahami al-Quran dengan yang tidak memahami al-Quran?

Jika kita melihat seorang alim makan sambil berdiri, adakah itu sama dengan seorang jahil yang makan berdiri? Jika kita melihat seorang alim bersolat sunat cuma dua rakaat, dan seorang jahil bersolat sunat dua rakaat juga, atau seorang jahil bersolat sunat empat rakaat, adakah mereka sama?

Orang alim bukan untuk ditaqdiskan tetapi untuk ditimba ilmu daripadanya. Kemuliaan dan kelebihannya adalah kerana ilmu yang dimiliki. Itulah kelebihannya berbanding orang jahil. Mungkin orang jahil punya kekuatan fizikal, berketurunan mulia, berharta, berpengaruh, tetapi itu semua tidak mampu mengatasi kemuliaan ilmu.

Kematian orang jahil akan ditangisi orang terdekat tetapi kematian orang alim ditangisi langit dan bumi. Bagi orang alim yang lain, kematian orang alim ibarat putus salah satu urat jantungnya. Kehidupan di dunia tidak bermakna apa-apa jika tanpa ulama.

Mengapa semua orang ingin menjadi orang alim? Mengapa pula tiada sesiapa pun yang ingin menjadi orang jahil? Seseorang itu walau pun jahil, dia akan marah jika dia dikata bodoh, pada hal jahil dan bodoh adalah sinonim.

Itu sudah cukup untuk membuktikan kemuliaan orang alim.

Guru saya menceritakan, Syeikh Najib al-Mutiei, seorang alim dalam bidang hadis di al-Azhar, ketika beliau berkunjung ke Malaysia suatu ketika dulu, beliau dilayan dengan tempat tinggal dan makan minum yang istimewa.

Apabila pulang ke Mesir, beliau berjumpa dengan pelajar Malaysia di sana. Beliau berkata, “Aku berterima kasih dengan layanan mereka, namun aku tidak berpuashati kerana mereka hanya melayan makan dan minum aku. Dimana-mana sahaja aku diberi makan dan minum, tetapi mereka tidak bertanya masalah agama, masalah berkaitan ilmu kepadaku.”

Begitulah lebih kurang luahan hati orang alim ini apabila ‘ilmunya’ tidak diberikan layanan sepatutnya.

Lima belas tahun lalu, saya sepejabat dengan seorang hakim mahkamah syariah. Beliau orang alim dan tempat kami merujuk. Ketika itu beliau orang kuat Umno, tetapi apabila dia mendengar ada orang yang berkata perkara pelik-pelik kepada MB Kelantan, dia marah.

“Dia orang alim, jangan berkata begitu kepada dia. Saya Umno, tetapi saya hormat ilmu yang dimilikinya.”

Namun bagi orang jahil, semua itu tidak penting. Saya teringat ungkapan yang bermaksud, “Daging para ulama adalah beracun.”

(Nota amat mustahak: Gambar tertera cuma hiasan. Tiada kena-mengenai dengan artikel ini)

1 comment:

Anonymous said...

Dulu aku cukup respect pada MB Kelantan tu..Tapi sejak dia cakap "pertolongan setan" pun dia sanggup terima dalam melawan parti yg dibencinya, aku mula berfikir... Kemudian dia cukup akrab dgn pimpinan parti Mata Satu, disaat kepimpinan yg lain cukup berhati-hati..Atas penilaian ini, aku sedar, dia ni dah jadi kut lain..
Ustaad, hang pun takkan tak study mamat PKR tu..sapa kawan-kawan dia..,apa aktivity dia sebelum ni..dll??? Takkan hang pun tak dapat nak kaitkan apa yg duk jadi dgn tanda-tanda dajjal yg Rasulullah saw duk bagi tau?? Ka..hang pun tak kisah??? Jawab sat..ka.. hang pun duk confused lagi??