Wednesday, November 24, 2010

Adakah Ini Bukti PAS Kuat?

Saya tidak tahu berapa jumlah edaran bulanan Harakah cetak seluruh negara. Apa yang saya tahu, Perlis hanya ratus-ratus sahaja. Ini bukan baru tetapi sudah agak lama. Ahli PAS di Perlis ramai, tetapi pembaca Harakah tidak setara mana.

Ada orang PAS yang tidak pernah beli Harakah langsung. Dia cuma tunggu untuk dengar ceramah sahaja. Tanpa ceramah, maklumatnya hanyalah parlimen kedai kopi. Namun begitu, orang sebegini, sokongannya kepada PAS tidak pernah berubah.

Saya kenal bekas seorang pengedar Harakah. Dulu dia mengedarnya dengan setia. Dia tidak langsung memungut duit edarannya tetapi dibiarkan terkumpul. Apabila tiba musim membajak sawah, duit terkumpul jualan Harakah itulah dijadikan upah membajak sawahnya.

Tetapi kini dia tidak lagi membuat kerja itu. Katanya, letih dan sudah tidak mampu untuk berkunjung dari rumah ke rumah seperti dulu untuk melakukannya. Dia sudah semakin berusia. Pada anggapan saya, mungkin pembaca Harakah yang diedarkan kawan saya ini kini jarang sekali membaca Harakah.

Kenapa? Sebab mereka membaca Harakah tanpa perlu membayar tunai dan Harakah dihantar ke hadapan tangga mereka.

Namun begitu, apabila terbaca ada ADUN yang ingin menyaman Harakah, saya agak terkejut. Rupa-rupanya Harakah punya kekuatan yang digeruni. Kalau Harakah tidak berkesan, untuk apa tindakan saman bakal diambil.

Saya fikir, tidak berapa kerat orang Umno atau orang atas pagar yang baca Harakah. Jika orang PAS sahaja yang baca Harakah, untuk apa ADUN itu takut. Orang PAS sokong PAS bukan sangat kerana baca Harakah. Dia tidak baca Harakah pun dia tetap sokong dan undi PAS.

Kalau orang Umno baca Harakah pula, saya fikir sikapnya hampir sama dengan orang PAS baca Utusan Malaysia. Masuk mata kiri keluar mata kanan. Atau, macam orang PAS tengok TV3. Hah, dasar TV tiga suku katanya.

Namun apabila tersiar berita orang kuat Umno nak saman Harakah, maksudnya dia bimbangkan pengaruh Harakah. Akhbar itu memang ada ‘power’ mempengaruhi orang untuk membenci BN dan Umno.

Justeru Harakah harus mempertahankan momentum ini. Harakah jangan sekadar memuaskan hati orang PAS dengan berita mengenai kegiatan PAS sahaja, tetapi akhbar itu perlu membongkar.

Pembongkaran memuaskan hati orang PAS dan memeningkan orang Umno. Tetapi kalau nak bagi orang PAS syok, banyakkan berita yang menyiarkan aktiviti pemimpin PAS, apatah lagi pemimpin muda.

Jika itu keadaannya, orang yang terpampang gambarnya dalam Harakah memang syok, dan pemimpin Umno pun syok juga sebab berita sebegitu tidak menggugat Umno.

Maka, jika ditanya kepada saya, berita bagaimanakah yang perlu ditampilkan oleh Harakah. Saya kata, berita yang mendedahkan akhbar itu kepada saman pemimpin Umno.

Tidak takutkah kepada saman? Jika apa yang kita laporkan adalah benar, beretika, biarlah mereka saman. Apa nak ditakutkan?

----------------------------------------------
Brunei Darussalam - 7: 52 pm

1 comment:

Anonymous said...

kata pengedar harakah perlis, md ali puteh: dlm 1300 copy dijual di perlis