Monday, November 15, 2010

Sembelih Hari Sabtu Masih Dikira Korban?

Sudah letih menjawab pertanyaan orang ramai. Soalan mereka:

“Mengapa kita ber-Idil Adha pada hari Rabu, sedangkan Kerajaan Arab Saudi menetapkan wukuf pada hari Isnin? Mengapa kita tidak mengikut mereka ber-Idil Adha pada hari Selasa?”

“Bilakah kami patut berpuasa Arafah, hari Isnin atau Selasa sedangkan wukuf pada hari Isnin dan 9 Zulhijjah di negara kita pada hari Selasa. Nak puasa ikut wukuf atau puasa ikut 9 Zulhijjah?”

“Bolehkah kami berkorban lagi pada hari Sabtu iaitu hari raya kelima jika mengikut Arab Saudi tetapi masih hari raya keempat mengikut negara kita. Mengikut Arab Saudi hari Tasyrik tamat pada hari Jumaat.”

Tanpa mempersoalkan kewibawaan para ulama dan mufti negara kita, kemelut ini wajar diselesaikan. Inilah soalan popular setiap kali menjelang hari raya Idil Adha.

Mengapa kita tidak mengikut Arab Saudi dalam menetapkan tarikh Idil Adha supaya tidak timbul persoalan untuk puasa Arafah dan sembelihan korban?

Ketetapan al-Azhar dalam perkara ini mungkin boleh dijadikan panduan juga pegangan. Berikut adalah ketetapan mereka:

Perbezaan Matla’ Dalam Ru’yah Hilal

(Fatwa al-Azhar –Jamadil Akhir 1386h / Oktober 1979m)

1. Sepakat di kalangan muslimin bahawasanya melihat hilal Ramadhan adalah wajib kifa’ei bukan fardhu ain. Cukuplah ia dilaksanakan oleh sebahagian muslimin kerana beramal dengan hadis yang sahih.

2. Jumhur fuqaha’ berpendapat, perbezaan matla’ tidak diambil kira. Apabila telah pasti kelihatan anak bulan di mana-mana negeri Islam, maka dikira thabit (kelihatan) juga kepada semua orang Islam sekali pun berbeza matla’ apabila (berita mengenainya) sampai kepada mereka secara pasti dengan cara yang sahih.

3. Sebahagian para fuqaha’ pula berpendapat, perbezaan matla’ diambil kira. Maka hendaklah penduduk setiap negeri berpegang dengan matla’nya.

4. Pandangan yang kuat (rajih) yang dijadikan fatwa dan ketetapan yang dibuat oleh Muktamar Ulama’ Islam yang diadakan di Akademi Kajian Islam di Universiti al-Azhar asy-Syarif pada tahun 1386h / 1966m, bahawasanya tidak diambil kira perbezaan matla’ kerana kuatnya dalil (yang berkaitan) selaras dengan tuntutan Allah untuk penyatuan umat Islam.

5. Apabila telah pasti kelihatan anak bulan Ramadhan di salah satu daripada negeri Islam, maka wajib ke atas umat Islam semua sekali, yang negeri mereka bersekali dengan negeri Islam itu pada sebahagian malamnya dalam ru’yah hilal, selagi tidak wujud pertentangan dan keraguan dari segi kesahihannya, (wajib ke atas mereka) berpuasa kerana berpegang dengan arahan al-Quran dan as-sunnah.

6. Apabila tidak kelihatan anak bulan kerana sesuatu sebab atau halangan, mereka hendaklah menyempurnakan bilangan hari dalam bulan Syaaban sebanyak 30 hari apabila diputuskan mereka yang pakar dalam bidang hisab bahawasanya anak bulan Ramadhan muncul dan tenggelam sebelum (seperti di dalam teks - mungkin sebenarnya selepas) terbenam matahari 29 Syaaban.

7. Apabila diputuskan mereka yang pakar dalam bidang hisab bahawasanya anak bulan Ramadhan muncul pada 29 haribulan Syaaban dan berada di atas ufuk selepas terbenam matahari pada hari itu dalam tempoh yang membolehkan ia kelihatan, maka dalam situasi ini, hendaklah dipegang pandangan pakar dalam bidang hisab yang dipercayai. Dengan itu dikira bermulalah Ramadhan berpegang kepada pendapat sebahagian ahli fiqh dan ketetapan yang dibuat oleh Akademi Kajian Islam al-Azhar.

1 comment:

Anonymous said...

saya tak faham. minta ustaz tambah sikit dengan bahasa orang awam

lagi satu, boleh ke sembelih petang ni, tapi buat kenduri korban esok?