Menurut Pengerusi DAP Perak, ADUN Malim Nawar keluar parti itu kerana menghadapi masalah kewangan. ADUN itu dibayar dengan jumlah yang besar walau pun tidak mencecah RM20 juta.
Difahamkan bahawa ADUN dan MP PR sebelum ini menjadi bebas atau menyertai BN juga kerana masalah kewangan. Mereka tidak mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik kerana tidak punya sumber kewangan yang memadai.
Apa moral pendedahan sebegini?
Wakil rakyat di Malaysia bukan sekadar penggubal undang-undang tetapi mereka juga adalah pegawai kebajikan. Orang pertama yang terlintas dalam kepala rakyat apabila mereka bermasalah adalah wakil rakyat.
Bayangkan jika wakil rakyat itu hanya ada elaunnya sahaja, sekitar RM5 ribu sebulan bagi ADUN. Dengan elaun itulah dia menyara dirinya dan keluarganya. Dan, dengan elaun itu juga dia menyara rakyat dalam kawasannya yang puluhan ribu orang itu.
Bila berhadapan dengan situasi sebegitu, ada dua perkara yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan. Pertama, jika dia adalah wakil rakyat kerajaan maka dia akan menggunakan kuasanya untuk mendapat wang tambahan melalui projek-projek kerajaan yang dikuasainya.
Kedua, jika dia bukan wakil rakyat kerajaan, dia mungkin terfikir untuk melepaskan diri daripada bebanan itu dengan pelbagai cara. Salah satu opsyen yang ada ialah melompat parti menjadi wakil rakkyat yang menyokong parti yang menjadi pemerintah.
Justeru, apa jalan penyelesaian yang ada?
Pada masa akan datang, parti-parti yang bertanding hendaklah memilih calon yang kaya sahaja. Mereka yang bakal bertanding hendaklah telah pun memiliki rumah sendiri tanpa hutang, kenderaan yang baik tanpa hutang dan sumber pendapatan tetap yang lain yang membolehkannya tidak bergantung dengan elaun sebagai wakil rakyat.
Pendek kata, jika ditakdirkan dia menang, dia tidak pandang pun kepada elaun bulanan wakil rakyat yang diterimanya itu kerana dia memang telah ada pendapatan tetap yang lain. Semua elaun itu boleh digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat yang diwakilinya. Bahkan, dia boleh menambah lagi dengan wang peribadinya kerana dia memang orang kaya.
Seseorang yang belum ada rumah atau ada rumah tetapi masih berhutang, masih tinggal di rumah sewa, tidak punya kenderaan yang baik, ada kenderaan baik tetapi masih berhutang dan tidak punya pendapatan tetap yang melebihi RM5000 sebulan hendaklah tidak dipilih menjadi calon.
Kenapa? Ya, dia pasti tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas-tugas sebagai wakil rakyat kerana dibebani masalah kewangan. Bebanan kewangan yang dihadapinya memungkinkannya dibeli dengan mudah oleh parti lawan yang mampu menawarkan ganjaran kewangan yang menarik dan lumayan.
Calon PAS macam mana?
Setakat ini belum ada wakil rakyat PAS yang melompat parti. Itu suatu kelebihan PAS. Walau pun wakil rakyat itu tidak melompat parti, itu tidak bermakna dia tidak punya masalah kewangan. Apatah lagi jika menjadi wakil rakyat pembangkang.
Dia memang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik kerana bebanan kewangan itu. Bila ini berlaku, orang akan berkata begini, “Wakil rakyat PAS pun tak buat kerja juga. Cakap saja lebih…”. Dia bukan tidak mahu buat kerja, tetapi dia tidak punya sumber kewangan yang mencukupi untuk buat kerja.
Elaun bulanan sebagai wakil rakyat habis untuk bayaran sewa rumah, ansuran bulanan kenderaan, yuran persekolahan anak, hantar kepada ibu bapa di kampong. Hasilnya, dia tidak mampu menumpu kepada tugasnya sebagai wakil rakyat kerana masalah kewangan tadi.
Memang PAS mempunyai ramai calon yang baik, warak, petah berpidato, rajin kerja, amanah, sanggup berkorban, pandai bercakap…, tetapi itu semua tidak memadai jika dia bukan orang kaya. Semua kebaikan itu tidak membawa erti jika tidak punya wang.
Itu tidak bermakna seorang yang punya wang tetapi berakhlak buruk, tidak punya kebolehan mengurus, hanya pandai bercakap adalah lebih layak untuk menjadi calon.
Maksudnya, seseorang yang layak dipilih sebagai calon telah punya kelayakan peribadi tetapi mesti punya nilai tambah iaitu KAYA.
Orang Arab bermadah:
Kefasihan Hassan, keindahan khot Ibnu Muqlah;
kecerdasan Luqman dan kezuhudan Ibnu Adham.
Apabila semua itu, ada pada seseorang, namun jika orang itu tidak punya wang;
orang berkata kepadanya, “Kamu tidak berharga walau sedirham.”
No comments:
Post a Comment