Monday, June 14, 2010

Lunturkah Identiti PAS?

SATU - Saya tertarik dengan kenyataan ini, “Namun ia tetap menarik kerana dengan keputusan itu, PAS bergerak setapak lagi ke arah melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu.”

Kenyataan itu adalah daripada A Kadir Jasin dalam kiriman terkini di dalam blognya (baca sini).

Kenapa saya tertarik dengan kenyataan itu? Kalau kenyataan itu daripada orang biasa, itu biasa sahaja. Namun, apabila keluar daripada orang seperti A Kadir, saya agak tersentak.

Saya kurang pasti kenyataan itu bersandarkan apa; kurang kenal PAS atau kurang faham mengenai Islam. Rasanya keduanya tidak. A Kadir kenal PAS dan faham Islam. Mungkin ada dorongan lain sehingga kenyataan sebegitu dikeluarkan. Apa dorongan itu, saya sukar menebaknya.

DUA - Apabila dikatakan, “… PAS bergerak setapak lagi…”, maksudnya sebelum ini telah ada tapak-tapak yang dijejaki oleh PAS untuk melunturkan identiti Islamnya. Saya kurang pasti juga apa tapak-tapak itu? Mungkin PAS berkawan dengan DAP, PAS menubuhkan DHPP atau apa?

Maksudnya, kalau sebelum ini identiti Islam PAS berwarna hijau pekat, dengan tindakan PAS berbaik-baik dengan DAP dan penubuhan DHPP itu menyebabkan identiti Islam PAS berwarna ‘hijau muda’.

Saya kurang faham mengapa tindakan PAS berbaik dengan DAP dikira tindakan melunturkan identiti Islam PAS. Dasar PAS tidak berubah, slogan PAS tidak berubah, arah perjuangan PAS tidak berubah. Pendekatan PAS dengan orang bukan Islam juga tidak berubah.

Cuma, berdasarkan perkembangan dan keperluan semasa dalam perjuangan PAS, sokongan orang-orang bukan Islam kepada PAS perlu distruktur dan disusun semula supaya lebih kemas. Itu sahaja. Sokongan orang bukan Islam kepada PAS bukan bermula kelmarin atau minggu lepas, bulan lepas atau tahun lepas malah semenjak awal penubuhannya lagi.

Cuma sokongan itu tidak semeriah hari ini. Justeru keperluan untuk menstrukturkan sokongan pada waktu itu tidak mendesak seperti keperluan pada hari ini. Semenjak dahulu lagi ramai orang DAP mengundi PAS.

Bersama DAP bukan melunturkan identiti PAS tetapi itulah kebijaksanaan PAS menstruktur sokongan orang-orang DAP kepada PAS.

TIGA – “… melunturkan identitinya sebagai parti Islam…”, apa identiti PAS sebagai parti Islam yang luntur itu? Juga, apakah identiti PAS sebagai parti Islam itu?

Seorang peniaga Muslim tidak boleh berurusniaga dengan riba dan menipu. Saya fikir itulah identitinya, sama ada dia berurusniaga dengan seorang Muslim atau bukan Muslim. Kalau dia tidak menipu orang Islam tetapi menipu orang bukan Islam, itu boleh dikatakan peniaga itu melunturkan identitinya sebagai peniaga Islam.

Orang Islam yang dipilih sebagai calon PAS hendaklah menghayati dasar PAS dan berakhlak mulia. Itu juga kriteria yang terpakai terhadap orang bukan Islam yang bakal terpilih sebagai calon PAS. Tetapi kalau Presiden PAS berkata, calon PAS orang Islam mesti menghayati dasar PAS dan bermoral tinggi sementara calon PAS bukan Islam tidak terikat dengan kriteria itu, baru boleh dikatakan PAS melunturkan identitinya sebuah parti Islam.

EMPAT - Memberi peluang kepada orang bukan Islam bertanding atas tiket PAS bahkan terlibat dalam beberapa hal berkaitan PAS bukanlah sekadar ‘opsyen politik’. Itulah sebahagian hak mereka. Bagaimana kita boleh melaksanakan kewajipan kita terhadap mereka jika mereka tidak diberi ruang pilihan untuk menyuarakan hak mereka?

Saya seperti boleh menghidu kebimbangan sebahagian orang mengenai masa depan politik orang Islam (saya malas menyebut masa depan politik orang Melayu), jika orang bukan Islam diberi opsyen politik yang banyak sebegini.

Soalnya, mengapa kita hanya nampak opsyen mereka, tetapi tidak opsyen kita? Bukankah menarik mereka hampir dengan kita juga memberi opsyen kepada kita, bukan sekadar opsyen politik tetapi opsyen dakwah.

Mereka mendapat lebih ruang opsyen politik, kita pula mendapat lebih ruang untuk opsyen dakwah. Bukankah sejarah perjanjian Hudaibiyah membuktikan bahawa Nabi menyediakan opsyen itu apabila bersedia bertolak-ansur dengan beberapa tuntutan dalam perjanjian itu yang dilihat oleh sebahagian sahabat sebagai merugikan orang Islam?

Apa hasilnya selepas itu? Orang Islam semakin kuat bukan?

LIMA - Orang Melayu Islam di Malaysia perlu membebaskan corak berfikir mereka daripada acuan Umno/BN. Mereka perlu menolak tempurung Umno/BN yang menyerkup mereka. Orang Melayu Islam perlu berfikir dengan acuan Islam bukan acuan asabiyah Melayu Umno, atau acuan asabiyah Cina MCA dan acuan asabiyah India MIC.

Sekurang-kurangnya berfikirlah dengan acuan fikiran ‘kemanusiaan’.

Adakah membela anak-anak orang India yang terpinggir daripada arus perdana pendidikan negara seperti yang disuarakan oleh perwakilan DHPP dalam muktamar baru-baru ini bukan sebahagian daripada ajaran Islam?

Adakah tidak boleh sebuah parti Islam seperti PAS menerima keahlian bukan Islam sedangkan dalam sebuah negara Islam semenjak negara Islam pertama lagi, orang bukan Islam diterima sebagai warga negara?

Adakah hilang identiti Islam PAS hanya kerana PAS bersedia menerima orang bukan Islam sebagai calon? Sebenarnya, menerima orang bukan Islam sebagai calon itulah identiti sebenar parti Islam. Bukan melunturkan identiti tetapi mengukuhkan identiti.

Hanya orang yang masih berfikir di bawah tempurung U*** sahaja yang melihat PAS melunturkan identitinya apabila bersedia menerima bukan Islam sebagai calon.

2 comments:

antiamfusanawaanfusini said...

A Kadir Jasin samalah lebih kurang pemikiran sebahagian ahli2 UMNO yang masih tidak dapat menerima hakikat kewujudan PAS dalam negara Malaysia. Oleh itu bermacam-macam alasan diberikan untuk mempelekehkan PAS. Hakikatnya sebelum ini (10 thn yang lalu) kalau pada pandangannya PAS amat kuat Melayu dan Islam tanpa DAP, tidak juga ia mahu menyertai PAS! Yang amat herannya UMNO yang menghakis Islam dan Melayu itu pulak disokongnya. Tidakkah meluluskan judi dan mengambil APCO sebagai penasih telah terang2 menghakis Islam? Itu belum lagi digadaikan KTM dan beberapa wilayah Malaysia kepada Singapura dan Brunei... tidakkah itu tandanya menghakiskan kekuatan Melayu??? Amat heran saya dengan orang2 yg dikatakan cerdik sampai tak nampak gajah didepan mata... mungkin rabun dekat agaknya! Amat kasihan saya dengan golongan pemikir dan penulis seperti ini... alahai... malaysia boleh!!!

Anonymous said...

BismailahiRhmaaniRahiim :

KAMI MINTA PENDAPAT ABDUL QADIR MENGENAI SEMBOYAN/COGAN BERIKUT :
"BANGSA YANG TIDAK PUNYA KUASA DI ATAS TANAHNYA, AIRNYA, APINYA DAN ANGINNYA (telekomunikasi dan alam sekitar) MAKA BANGSA BERKENAAN ADALAH BANGSA YANG BANGSAT".

ahmad kamar ~Aq. 16 Jun, 2010.