Bagus benar apabila 40 orang yang dikatakan ulama masuk Umno cawangan Dataran Merdeka. Kalau dibandingkan dengan cawangan Umno seluruh Malaysia, itulah cawangan paling alim. Sepengetahuan umum, tiada cawangan Umno yang seramai cawangan itu disertai ulama.
Paling banyak adalah cawangan Umno yang tidak punya ulama langsung. Sebab itu di sesetengah kampung yang cawangan Umno di situ kuat, masjidnya sunyi dan sepi. Lebih banyak cicak dari orang. Apabila tiba waktu solat, orang itulah bilal, imam dan makmum.
Ada sebuah masjid di Kedah, menurut masyarakat setempat tidak pernah langsung ada guru luar yang datang mengajar ke masjid itu. Hanya imam di situ saja yang mengajar tetapi kuliah imam itu tidak mendapat sambutan sebab orang setempat kenal dengan perangai imam berkenaan.
Imam itu orang Umno dan perangainya agak kurang senonoh. Kuliahnya akhirnya mati begitu sahaja. Akhirnya atas desakan masyarakat setempat, diusahakan guru dari luar datang. Masjid itu meriah dengan jamaah dengan usaha itu. Demikianlah nasib masjid yang dikuasai oleh Umno.
Dataran Merdeka tidak ada masjid. Masjid yang terdekat adalah Masjid Jami’ Bandaraya. Tentulah selepas ini masjid itu akan meriah dengan kuliah. Kalau 40 orang ulama muda yang masuk Umno itu mengambil setiap seorang satu malam sahaja untuk berkuliah di masjid itu, maka mereka terpaksa menunggu selama 39 malam untuk sampai giliran semula.
Untungnya orang Umno cawangan Dataran Merdeka kerana mereka berpeluang menimpa ilmu daripada sekumpulan ulama muda yang bukan calang-calang. Selepas ini Umno cawangan Dataran Merdeka bukan setakat memecah rekod cawangan paling ramai ulama tetapi cawangan Umno paling alim.
Begitu juga, selepas ini tentulah Dataran Merdeka akan bebas daripada sebarang program maksiat. Tidak ada konsert tak senonoh dan tak perlu panggil penceramah Indonesia untuk berceramah di situ. Cukuplah 40 ulama muda itu bergilir-gilir.
Cuma 40 ulama muda itu jangan berkecil hati atau bergundah-gulana kalau kuliah yang mereka sampaikan tidak seramai mana pendengarnya. Orang tahu mereka ada ilmu tetapi orang tidak menilai ilmu berdasarkan sijil sahaja. Orang menilai ilmu dengan amalan.
Amalan mereka bercanggah dengan ilmu mereka. Kitab yang mereka tadah mengajar mereka untuk tidak terpengaruh dengan orang yang zalim, namun ajaran kitab itu mereka lempar ke tepi sahaja. Mereka masuk Umno kerena meraka melempar kitab.
Saya juga percaya 40 ulama muda itu masuk Umno kerana mereka belum kenal Umno dengan sebenar. Kalimah dan ungkapan Umno tiada dalam kitab-kitab yang mereka tadah dengan guru mereka. Mereka ‘alim’ tetapi tidak ‘faqih’.
Alim maksudnya banyak ilmu. Belum tentu orang yang alim adalah faqih kerana faqih bermaksud keupayaan yang tinggi untuk menterjemah ilmu yang dimiliki dengan suasana dan keperluan semasa.
Kalau mereka faqih mereka tak akan menyertai Umno kerana dasar Umno, halatuju Umno, pendekatan Umno semuanya bercanggah dengan ilmu yang mereka tuntut di menara gading sebelum ini. Mereka sepatutnya menjadi faqih bukan sekadar menjadi alim.
Walau pun begitu, saya tidak berhasrat untuk ‘menghentam’ mereka sangat. Mereka masuk Umno belum pun sampai 24 jam. Pada ketika ini, bagi mereka Umno semuanya manis dan indah, macam orang baru berkahwin. Angin Umno pun masih wangi.
Mari kita menunggu dengan sabar. Kalau mereka semua amanah dengan ilmu masing-masing dan dalam hati mereka terdapat sedinar iman, tunggulah. Hanya ada dua kemungkinan sahaja. Pertama, Umno akan meminggirkan mereka. Atau kedua, mereka akan meninggalkan Umno.
Bukankah mengubah Umno adalah kemungkinan ketiga? Tidak adakah kemungkinan itu? Jawabnya, tidak ada. 40 ulama muda ini boleh terus kekal bersama Umno, serasi dengan Umno bukan kerana mereka berjaya mengubah Umno, tetapi Umno yang mengubah mereka. Harap-harap tidak.
3 comments:
biro agama cawangan tu tak gaduh laa nak tolak kat kawan tu,nak bagi kat kawan ni noe..?
salam
macam citer p.ramlee la pulak..najib dengan 40 orang ulamak @ ali baba dengan 40 orang penyamun...agak-agak ada persamaan tak?
wkahkahkakaha
salam ziarah
tolong link blog ambo, warta365.blogspot.com
Saya agaklah tugas pertama mereka adalah untuk membersihkan kawasan (bahagian) Dataran Merdeka dari segala bentuk maksiat @ kemungkaran.
Post a Comment