Semasa kanak-kanak, antara aktiviti utama selepas balik sekolah adalah mengail. Di samping suka-suka, hasilnya juga boleh dibuat lauk. Sewaktu padi sedang ‘membunting’, sawah adalah sasaran utama di samping parit, tali air, paya dan sungai.
Peralatan memancing mudah saja. Sebatang buluh yang boleh didapati dengan mudah, umpannya juga tak perlu dibeli. Lebih menarik mata kailnya juga kadang-kadang hanya dibuat dengan dawai yang dibengkokkan seperti mata kail sahaja. Bagi kawan-kawan yang berada sikit, bolehlah bergaya dengan ‘joran kedai’.
Ikan-ikan popular pula ialah puyu, keli, haruan dan belida. Tapi, untuk suka-suka, kadang-kadang ‘anak kemeras’ juga turut dipancing.
Umpan pula mengikut jenis ikan yang akan dipancing. Ikan haruan pakai katak ong atau katak air. Katak pisang yang kuat melompat tak sesuai dijadikan umpan. Ikan keli pakai umpan cacing. Ikan puyu pula pakai belalang, samada belalang kacong atau belalang perul. Mahu bagus lagi pakai anak tebuan.
Memancing anak kemeras mudah sahaja. Sebatang lidi nyior yang diikat dihujungnya dengan benang menjahit sudah memadai. Hujung benang itu diikat dengan ulat daun pisang yang masih kecil, tidak perlu mata kail. Letak sahaja dimana anak kemeras berada. Bila dia jamah umpan itu angkat perlahan-lahan.
Anak kemeras orang tak makan. Ia dikail pun sekadar suka-suka sahaja.
Bila sudah berusia, pernah juga beberapa kali mengikut kawan-kawan memancing di tengah laut. Peralatannya tentu lebih canggih dan ikannya juga hebat-hebat. Masa yang diambil juga lebih panjang dan risikonya juga besar.
Sekali terjadi, bahagian enjin bot terbakar semasa pelayaran pulang. Namun dengan kecekapan tekong, setelah berlalu beberapa jam, akhirnya sampai juga ke daratan. Kecut perut jadinya. Namun nikmat memancing tetap diingati.
Nikmat memancing ada dua. Pertama, nikmat bertarung dengan ikan apatah lagi kalau ikan ganas. Nimat kedua ialah dapat makan ikan segar, rasa ikan ori.
Itu cerita memancing sebenar. Ada juga memancing ‘majazi’. Memancing dalam bentuk ini rupa-rupanya berlaku dalam dunia politik. Seperti memancing sebenar, memancing dalam politik juga ada peralatan, umpan, teknik, lokasi, masa dan tidak lekang risiko.
Memancing dalam politik bertujuan untuk mengekalkan kuasa. Ikan-ikan sasaran juga adalah adalah ikan yang dilihat berpotensi untuk mencapai tujuan itu. Anak kemeras politik jarang dipancing. Cedok saja pakai timba, beratus boleh dapat.
Sebelum ini ada beberapa spesis ikan politik yang dipancing. Ada antaranya yang memakai umpan semahal RM2j. Ikan politik spesis itu bukan sekadar makan umpan malah menelan kailnya sekali. Akhirnya, ikan politik itu bersuara sebiji dengan suara pengail. Maklum, tersangkut kail dikerongkong.
Akhir-akhir ini, spesis ikan politik yang diburu oleh pengail politik adalah ikan berjenama ‘ulama’. Ikan politik jenis ini khabarnya tidaklah ganas sangat berbanding ikan politik bertaraf YB. Tetapi ikan politik jenis ini kalau dapat ditangkap dikagumi oleh ramai orang. Bukan sekadar kerana dagingnya mahal, tetapi kerana siripnya cantik, berkilat, panjang dan dikagumi penggemar ikan politik.
Ikan politik jenis ini dikatakan cerdik, apatah lagi kalau yang dipelihara di kolam-kolam berair jernih. Istimewanya, ikan politik jenis ini bukan sekadar pandai melompat, malah kalau rajin lagi ia juga boleh bercakap. Dan cakapnya sebiji macam suara tuan yang mengajarnya.
Ikan politik jenis ini juga dikatakan jika dipelihara mampu membersihkan kolam daripada lumut dan kotoran. Caranya ialah dengan memakannya kemudian mengeluarkan semula apa yang dimakan itu dalam bentuk hasilan yang harum.
Umpan untuk mengail ikan ini tak perlu mahal sangat. Ikan politik spesis ini tidak memandang kepada umpan tetapi dia memandang kepada joran dan pengail. Kalau pengail pandai menggerakkan jorannya, pandai bersuara, tidak pakai umpan pun dia akan menyambar kail.
Dia tidak kisah kalau mulutnya rabit sikit ketika menyambar kail. Apa yang penting ialah selepas itu dia dapat masuk ke dalam kolam yang bagus dan dapat makan lumut-lumut dan kotoran-kotoran yang melekat dan tumbuh di dinding atau dasar kolam itu.
Itu pun sudah memadai. Tetapi kalau kolam itu dihias dengan lebih indah, dan dia pula diminta membuat persembahan melompat ke sana sini semasa majlis perasmian pesta kolam atau sebagainya, itu sudah memadai. Baginya, itu satu penghormatan besar.
Maknanya, ikan politik spesis ini tidaklah rewet sangat macam ikan politik spesis YB.
Mengail ikan spesis ini juga agak mudah kerana dia suka hidup berkumpulan paling kurang 40 ekor. Kadang-kadang menjangkau sehingga 100 ekor. Namun, itu pada awalnya sahaja kerana biasanya 60 ekor lagi akan menarik diri disebabkan tidak bersedia untuk hidup dalam kolam dan makan kotoran di dalam kolam itu.
Walau pun spesis ikan politik ini disanjung dan dihargai pada peringkat awal, biasanya setelah berlalu tempoh tertentu, ikan-ikan politik ini dibuang daripada kolam. Atau, dibiarkan hidup di dalam kolam juga tetapi tidak lagi dijemput untuk membuat apa-apa persembahan.
Namun kini orang ramai sudah semakin cerdik. Mereka tidak mudah terpesona sangat dengan sirip, ekor atau lenggok ikan politik spesis ulama ini.
Bagi mereka apa guna ikan itu berperawakan cantik, pandai melompat dan pandai bercakap tetapi makan kotoran di dalam kolam. Lama-kelamaan daging ikan itu akan menjadi hanyir. Walau pun tubuh gemuk tapi dagingnya berbau hanyir, orang akan letak sebelah juga.
No comments:
Post a Comment