SATU - Biasanya unjuran pencapaian sesuatu parti dalam pilihanraya berikutnya adalah berdasarkan pencapaian parti itu dalam pilihanraya sebelumnya. Walau pun unjuran itu bukan muktamad, tetapi angka-angka sebelumnya amat berharga untuk menentukan angka-angka selanjutnya.
Terima kasih kepada Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dengan ucapan dalam sesi penggulungan muktamar baru-baru. Dalam keghairahan ramai untuk mara ke Putra Jaya dan menang lagi di beberapa buah negeri, sekurang-kurangnnya kenyataan Pengarah Pilihanraya itu menyentakkan mereka mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi.
Dalam optimis ada realistik. Ketika sedang menggapai awan, jangan lupa rumput di daratan.
DUA - Berdasarkan keputusan PRK Hulu Selangor, PR menghadapi kemerosotan enam peratus undi Melayu dan sepuluh peratus undi India. Itulah angkanya. Kita boleh berkata apa sahaja; itu pilihanraya kecil, BN tabur undi, BN ugut, BN guna jentera kerajaan atau apa sahaja, semua itu tidak mengubah angka berkenaan.
Jika trend ini berterusan, di Selangor PAS bakal tinggal dua kerusi. PAS Kedah bakal kehilangan kerajaan negeri. Kelantan pula berhadapan 18 ‘kerusi kelabu’.
Negeri-negeri lain macam mana?
TIGA - Inilah apa yang saya tulis sebelum ini mengenai prestasi Pakatan Rakyat di Perlis. Saya simpulkan begini; majoriti BN di DUN yang mereka menang bukan semakin menurun tetapi meningkat. Sementara, majoriti di DUN yang kita menang iaitu Sanglang tidak bertambah. Sementara kemenangan PAS di DUN Simpang Empat banyak di dorong faktor dalaman BN bukan faktor kekuatan kita.
Pada masa yang sama kita meletakkan harapan untuk menang di DUN yang ramai pengundi bukan Melayu dengan ‘swing’ sebanyak 70 peratus. Soalnya, adakah harapan ‘swing’ sebegitu tinggi adalah realistik?
EMPAT - Tsunami politik 2008 tidak melimpah hingga ke Perlis. Sepanjang pengetahuan saya itulah Tsunami politik paling besar dalam sejarah politik negara ini. Tsunami itu tidak banyak mengubah selera undi orang Melayu. Di DUN yang bermajoriti pengundi Melayu prestasi PAS Perlis masih begitu-begitu juga.
Adakah Tsunami itu akan berulang? Tidak mustahil akan ada gelombang kedua tetapi riak-riak laut politik semasa tidak menampakkan ia akan berulang dalam tempoh terdekat. Justeru, jika gelombang Tsunami politik kedua mungkin tidak berlaku di peringkat nasional, adakah itu hanya akan berlaku di Perlis sahaja?
Jika yang sudah berlaku pun tidak sampai, jika tidak berlaku macam mana?
LIMA - Kerja-kerja politik memerlukan skil yang tinggi. Pekerjanya perlu memiliki jangkauan akal politik yang panjang dan luas. Kerja-kerja politik adalah kerja-kerja lapangan, bukan kerja-kerja ucapan ‘penyedap telinga’ di dalam kamar mesyuarat.
Politik adalah imej, juga persepsi. Politik bukan sekadar ‘idealisme’ tetapi ‘realisme’. Suatu masa dulu kita mungkin boleh menarik orang dengan ucapan kita berteraskan dasar dan prinsip. Maksudnya orang sokong PAS kerana dasar PAS atau prinsip PAS.
Tidak ternafi ramai yang menyokong PAS kerana dasar dan prinsip itu. Tetapi, kini apa yang orang ingin lihat ialah bagaimana dasar dan prinsip itu diterjemahkan. Menterjemahkan prinsip tidak semudah melaungkan prinsip.
Membawa turun prinsip ke medan kehidupan tidak sama dengan menceramahkan prinsip di atas pentas ceramah.
Soalan saya ialah, adakah PAS Perlis mempunyai ‘penterjemah’ prinsip yang mencukupi untuk berhadapan aspirasi rakyat dalam PRU ke 13 akan datang?
1 comment:
Tuan,
Politik ada prinsip. Itu yang disukar difahami Melayu. Mereka fikir politik itu kerja tipu helah sahaja. tidak kira orang kampung atau tengah bandaraya kalau akla politiknya kecik maka kemahuannya juga kecik. Tanpa idealisme mana mungkin manusia bergerak ke arah realiti. Syok sendiri kerja politik pun ada...akal kuarng...kah..kah..kah..mari tertwakan politik Melayu!
Post a Comment